Pembangkang guna kanak-kanak merayu undi
07/04/2009 3:27pm
SUNGAI PETANI 7 April — Parti-parti pakatan pembangkang didapati menggunakan kanak-kanak untuk merayu undi di kawasan pondok-pondok panas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau hari ini.
Kanak kanak terbabit dibekalkan dengan bendera Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS dan poster calon parti berkenaan S.Manikumar dengan berdiri bersama-sama para penyokong parti itu di tepi jalan menuju ke pusat pengundian di Taman Ria.
Tinjauan Bernama di kawasan peti undi Taman Ria mendapati lebih 20 kanak-kanak berusia sembilan dan 12 tahun bersorak dan mengibarkan bendera PKR, DAP dan PAS .
Orang ramai yang ditemui kesal dengan tindakan penyokong parti itu yang memperalatkan kanak-kanak dalam merayu undi dan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab.
Seorang pengundi, Osman Mustafa,45, dari Taman Ria di sini berkata ibu bapa tidak sepatutnya membawa anak-anak kerana mereka sepatutnya berada disekolah.
Rashidah Shaari, 32, pula mendakwa kanak-kanak terlibat bukan anak penduduk kawasan berkenaan.
“Mereka mungkin datang dari luar kawasan taman ini bersama keluarga mereka membantu calon pembangkang yang bertanding”, kata beliau.
Sebanyak 35,140 pemilih akan mengundi pada pilihan raya kecil itu yang menyaksikan pertandingan 15 penjuru termasuk 13 calon Bebas, S.Ganesan dari Barisan Nasional dan Manikumar dari PKR.
Sementara itu, kertas undi yang luar biasa besarnya iaitu 50sm panjang dan 20sm lebar pada pilihan raya kecil itu telah menjadi satu daripada faktor menarik pemilih terutamanya warga tua untuk keluar mengundi.
Seorang pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Mak Long, 63, berkata dia amat teruja untuk keluar mengundi pada hari ini kerana saiz kertas undinya yang lebih besar berbanding kertas undi pilihan raya sebelum ini.
“Dari semalam lagi Mak Long rasa tak sabar-sabar nak keluar mengundi sebab nak tengok sendiri besar mana saiz kertas undi,” katanya yang ditemui di pusat pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Ria Jaya di sini.
Katanya saiz kertas pengundian yang besar dan jumlah calon yang besar bagaimanapun tidak menyebabkan dia rambang mata untuk memilih calon yang terbaik.
Pesara kerajaan, Ishak Arshad, 60, berkata saiz kertas undi tidak menjadi masalah kepadanya namun perkara itu adalah sesuatu yang baru dan jarang berlaku di samping jumlah calon yang bertanding.
“Pakcik tak ada masalah dengan kertas undi besar cuma rasa lain sikit sebab ramai sangat calon, selalunya dua calon je tapi kali ni sampai 15 orang,” katanya. — Bernama
***DoA HaRiAN***
Tuesday, April 7, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment